Jalan-Jalan ke Sandakan

April 02, 2019



Assalamualaikum..
Apakhabar korang ?? semoga sehat selalu ya..

Harini Sis nak share pengalaman kitorang ke Sandakan pada sabtu lepas. Sebenarnya sering juga Sis ke sandakan ni dan Sis memang di lahirkan di Hospital Duchess of Kent Sandakan tapi sempat membesar sampai umur 3 tahun sahaja di Beluran Sandakan, selepas itu keluarga berhijrah dan menetap di Kota Kinabalu sehingga kini. Sis sajalah nak cerita pengalaman kitorang jalan-jalan ke Sandakan sebab perjalanan kami kali ini hanya bertiga dan semuanya perempuan, kalau dulu mesti konvoi dengan family saja bila ke Sandakan dan memang kurang berani memandu jauh-jauh kalau kitorang perempuan sahaja tapi oleh kerana minat melawat tempat orang kami beranikan diri dan gagahi juga 😁😁

Jumaat 29.03. 2019

Oleh kerana kawan sorang habis kerja jam 3 petang, Kami bergerak agak lewat sedikit . Memulakan perjalanan pada jam 5 petang dari Kota Kinabalu ke Ranau mengambil masa selama 2 jam. Kitorang memang merancang untuk bermalam di pekan Ranau supaya dapat bergerak awal ke Sandakan keesokannya. kitorang drive pun santai saja, Alhamdulilha jam 7 malam kami selamat sampai di pekan Ranau. Selepas daftar masuk hotel, kami keluar makan malam dan kembali ke hotel dan rehat secukupnya.

Sabtu 30.04.2019

Seawal jam 5.30 pagi kitorang dah gerak dari Ranau dengan niat awal sampai ke Sandakan dan nak terus terokai mana-mana tempat yang sudah di senaraikan. Perut berkeroncong pula sebab tak sempat sarapan awal pagi, Jadi kitorang singgah lah restoran yang ada di tepi jalan selepas pekan Telupid untuk bersarapan pagi sebelum meneruskan perjalanan.



Keadaan jalan raya sepanjang dari Telupid ke Sandakan boleh di katakan memang banyak yang rosak dan berlubang namun tidak seteruk kali terakhir kami lalui jalan ini ketika ke Lahad Datu beberapa bulan yang lepas, ada sesetengah jalan yang sudah di baiki dan membuat perjalanan kami lebih mudah dan cepat sampai. Tapi bagi korang yang tidak biasa memandu ke Sandakan Sis nasihatkan supaya lebih berhati-hati, kereta boleh menjadi kurang stabil dan mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jika di pandu dengan laju. Ini kerana permukaan jalan raya beralun dan tidak rata, lebih selamat rasanya jika memandu ketika waktu siang berbanding malam.

Tepat jam 9.30 pagi kami tiba di Sandakan. Kami terus menuju ke destinasi pertama kami iatu 'Sepilok Nature Resort'. Tujuan kami ke Resort ini hanyalah untuk melihat sendiri keindahan tempat ini dan memang agak terpana dengan suasana yang tenang dan mendamaikan di sini. Kami turut di sambut ramah oleh staff yang tak lekang dengan senyuman. Bagi mereka yang sukakan suasana alam semula jadi memang Sis sangat sarankan untuk bermalam di Resort ini.




Resort ini di bina atas tanah berlanskapkan taman dan tasik, terletak 2 km dari Pusat penemuan hutan hujan dan 6 minit berjalan kaki dari Hutan Simpan Kabili-Sepilok Nature Reserve.
Lapangan terbang Sandakan adalah kira-kira 17 minit dari Resort ini. Chalet yang ada di sini sangat cantik berkonsepkan tropika dengan hiasan berwarna-warni dengan balkoni dan siling ber-alangkan kayu, Tv dan tempat duduk yang santai berserta meja. Harga setiap chalet bermula dari rm318 dan ke atas.





Mempunyai konsep Restoran terbuka dengan laman yang menyegarkan mata turut menyediakan hidangan tempatan dan antarabangsa. Nikmati pemandangan taman dengan Tasik, bunga dan pokok yang subur sambil duduk santai di luar atau berjalan di laluan berjalan yang di sediakan. Bagi mereka yang suka meneroka suasana hutan, Resort ini juga turut menawarkan lawatan sambil bersiar-siar.







Banyak jugalah gambar kitorang ambik, dengan selfie tak habis-habis hihi. InsyaAllah ada rezeki nak juga check-in tempat ni.. okey jom teruskan perjalanan.

Kami teruskan perjalanan ke Bandar Sandakan tapi sebelum menuju ke Pusat Bandar, singgah sebentar di Restoran Sri Rimbawan Jalan labuk batu 7. Restoran ni nenek suami yang punya tapi kitorang malas la nak bagitau kitorang datang, sebab kitorang nak santai-santai saja. Untuk pengetahuan korang Restoran ni memang terkenal dengan Nasi Kuning nya yang sedap dan memang berbaloi makan dekat sini. Okay perut dah kenyang dan perjalanan di teruskan lagi ke destinasi seterusnya iatu 'St. Michael's and All Angels Church' yang berlokasi di atas bukit Jalan Puncak, Pusat Bandar Sandakan.

The Parish of St. Michael's and All Angels Church atau nama pendeknya St. Michael's Church adalah sebuah Gereja Bersejarah Anglikan di Bandar Sandakan yang terletak di Borneo utara  Negeri Sabah. St. Michael's adalah Gereja batu yang tertua di Sabah yang di bina pada tahun 1880. Pembinaan Gereja ini bermula dengan Paderi William Henry Elton, yang juga di kenali sebagai pengasas Sekolah Menengah St. Michael's yang terletak bersebelahan dengan Gereja ini.










Kitorang memang teringin melawat bahagian dalam Gereja tapi apakan daya , masa kurang mengizinkan, kerana jadual terlalu padat.
Tapi sis share kan di sini masa lawatan dan fee charge untuk melawat bahagian dalam Gereja ni ya, manalah tahu korang pula nak pergi nanti kan.


Badan pun sudah mula letih dengan cuaca yang panas terik tapi bila tengok jam baru jam 1.30 tengahari, masa check in hotel pula jam 2 petang, masih ada setengah jam lagi free, jadi kitorang meneruskan perjalanan ke bukit bendera Sandakan atau lebih di kenali sebagai Trig Hill, ber lokasi di atas bukit tengah-tengah bandar Sandakan. Bandar Sandakan yang berhadapan dengan laut yang terbentang luas mampu di lihat dengan jelas dari bukit ini dan pastinya menjanjikan pemandangan yang segar dan indah. Apalagi, kami pun tak ingin melepaskan peluang untuk bergambar di sini.




Asyik sangat menikmati suasana dan mengambil gambar di atas Trig Hill sampai tak sedar rupanya dah hampir jam 2 petang, kulit pun makin terasa lekitnya dan kurang selesa. Kami bergegas terus ke hotel Hsiang Garden yang telah kami tempah awal melalui Traveloka untuk daftar masuk. Masing-masing bergilir untuk mandi dan kami berehat sebentar untuk recharge tenaga sebelum meneruskan lawatan sebelah petang pula. 


Tempat yang kami kunjungi seterusnya ialah Rumah Agam yang cukup bersejarah 'Agnes Keith House'. Rumah yang pernah di diami oleh penulis tersohor Amerika Syarikat Agnes Keith bersama suaminya Harry Keith dan anak mereka, George. Rumah Agam ini terletak di Jalan Istana, Sandakan yang pastinya tempat yang harus dikunjungi sekiranya ke Sandakan. Keunikan rumah dua tingkat yang berasaskan kayu ini dengan seni bina, dekorasi dan sejarah yang terkumpul sangat menggamit kenangan. Pernah dahulu rumah ini terbiar dan hampir musnah namun pemuliharaan yang di buat oleh Muzium Negeri Sabah pada 2001 berjaya mengekalkan reka bentuk asalnya.


Melangkah masuk dalam rumah Agam ni terpana dengan hiasan dalaman yang mengekalkan konsep asal yang di lengkapi perabot zaman kolonial. Walaupun kelihatan sangat ringkas namun perabot kayu di setiap sudut sama ada katil, almari, meja makan membuat rumah berkenaan berada pada kelas tersendiri di zamannya.










Agnes di lahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Pernah bertugas sebagai wartawan dengan The San Francisco Examiner pada 1924. Selepas berkahwin  dengan Harry Keith, yang bertugas sebagai Pegawai Konservasi Hutan yang bertugas di Sandakan pada 1934, Agnes telah mengikuti suaminya ke Sandakan. Walaupun mereka adalah penghuni kedua tinggal di rumah itu selepas M M Clark namun nama Agnes Keith lebih sinonim dengan rumah itu kerana di rumah itulah dia menghasilkan buku 'Land Below The Wind' pada 1939 yang menceritakan kehidupan masyarakat tempatan Sabah dan alam semula jadinya. 


Ketika Perang Dunia kedua meletus, Agnes dan keluarganya kembali ke Amerika Syarikat namun telah kembali lagi ke Sandakan selepas itu, namun rumah itu telah musnah teruk dan kemudian di bina semula untuk mereka diami dan Agnes menamakannya Newlands. Di dalam rumah itulah terhasil lagi dua buku karangan Agnes berjudul 'Three Came Home' pada 1946 dan 'White Man Returns' pada 1951.

Pasangan itu pulang ke tanah air pada tahun 1952, namun nama Agnes terus kekal dalam ingatan masyarakat Sabah khususnya Sandakan sehinggakan apabila Muzium Negeri Sabah membina semula rumah itu, ia dinamakan 'Rumah Agnes Keith' sebagai satu penghargaan buatnya.


Masa cukup mencemburui kami , terasa cepat sangat masa berlalu, niat ke 'Tokong Puu Jih Shih' juga terpaksa kami batalkan kerana sudah terlalu lewat dan hari semakin senja. Akhirnya kami membuat keputusan untuk terus ke Pasar Malam sahaja. Berlokasi di Jalan Leila dan bersebelahan dengan Pejabat Pos Besar. Tempat ni memang senang nak cari sebab kedudukannya hanya di tepi jalan sahaja. Memang rugi rasanya ke Sandakan jika tidak menikmati ikan dan sotong bakar yang cukup menyelerakan di sini. Yang pastinya berbeza dengan ikan bakar yang ada di Kota Kinabalu.





Memang rambang mata tengok makanan yang ada di Pasar malam ni. Ikan pun memang segar dan harga juga berpatutan. kitorang makan sampai tak ingat dunia. Lepas balik KK nanti kena diet lah jawabnya, pasti KG dah naik banyak ni..

Bila dah kenyang , mata pun jadi berat rasa macam nak terus baring dan tidur hihi..
Semua misi sudah selesai walau pun banyak tempat tak sempat nak lawat, tapi InsyaAllah ada rezeki kitorang akan ke sini lagi. Maka dengan itu berakhirlah aktiviti seharian kami, sememangnya penat tapi misi dan kepuasan itu lebih utama. Jam 10 malam kembali ke hotel, kena cukup rehat sebab esok pagi kitorang akan memandu lansung selama 6 jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

Ahad 31.04.2019

Jam 9 pagi kami sudah bersiap-siap untuk bertolak, tapi wajib singgah di kedai kopi Baru Bar Lok Yuen di Pasir Putih untuk bersarapan dengan ban-nya yang cukup viral di Sandakan ini. 


Kedai Kopi Bar Lock Yuen telah menyajikan Ban dan pastri di Sandakan selama lebih 50 tahun. Mereka memulakan perniagaan ini di Jalan Bokara 50 tahun yang lalu dan berpindah ke lokasi sekarang  yang kini sudah 40 tahun lamanya.





Kami telah diperkenalkan kepada kedai lama ini oleh kenalan dan rakan. Mereka begitu terkenal dengan pes kacang merah buatan sendiri dan kacang tanah panggang yang telah di tumbuk kasar yang dicampur dengan gula. Gabungan mungkin agak pelik tetapi ia mempunyai rasa benar-benar sedap dan tekstur Ban juga sangat lembut di tambah pula dengan segelas necafe-c panas memang cukup awesome ! 

Selesai bersarapan dan dengan lafaz Bissmillah kami pun bersedia untuk meneruskan perjalanan kembali ke Kota Kinabalu. Walaupun percutian ini amat singkat dan agak terkejar-kejar namun cukup menambah pengalaman dan menyimpan seribu kenangan buat kami bertiga.
InsyaAllah pasti akan bertemu lagi di short trip akan datang . Bye !!😘😘


for more info

Sepilok Nature Resort
http://www.sepilokjungleresort.com
Phone: 089-673999

Agnes Keith House
http://www.museum.sabah.gov.my/
Phone: 089-221140








You Might Also Like

0 comment